Khamis, 8 Mei 2014

Bangkit Berniaga

Sudah lama jugak saya tidak meluahkan perasaan di blog niaga saya ni. Sebenarnya, saya ingin mengucapkan rasa syukur yang teramat tinggi kepada ALLAH s.w.t. kerana membenarkan saya untuk bangkit berniaga semula. Alhamdulillah..

Pada mulanya saya sendiri hampir putus asa dengan tahap ekonomi saya pada masa ini kerana pada awal tahun ini, kehidupan kami sekeluarga diuji ALLAH dengan kejadian kemalangan yang menimpa suami saya. Hampir semua duit simpanan dan hasil perniagaan habis dibelanjakan sepanjang rawatan suami di hospital dan selepasnya. Memang terasa sangat saya tidak mampu nak berbuat apa-apa pun untuk menambah pendapatan keluarga saya kerana pada masa tersebut saya sudah tidak mempunyai modal untuk menjayakan perniagaan saya. Lalu, saya mengambil keputusan mendiamkan diri daripada dunia perniagaan dan bergantung harap kepada gaji bulanan pekerjaan tetap saya.

Namun begitu, apabila saya mengambil cuti separuh gaji selama 2 bulan, saya sekali diuji apabila hampir separuh gaji saya dipotong serentak. Asalnya, saya ingatkan pemotongan gaji dijalankan secara sedikit demi sedikit (ini berdasarkan pengalaman kawan saya yang mengambil cuti disebabkan menjaga suami yang sakit angin ahmar), rupa-rupanya gaji akhir saya hanya tinggal bawah RM500 sahaja. Fuhhh..memang terasa nak terbalik dunia dibuatnya..Mana ada org hidup dapat hidup dengan duit bawah RM500??? Sesungguhnnya ALLAH Maha Kaya, saya hanya diamkan diri dan bersabar serta lebih mendekatkan diri kepada ALLAH kerana saya percaya setiap yang berlaku dalam kehidupan saya adalah ketentuanNYA supaya menjadikan saya hambanya yang lebih baik pada masa akan datang.

Akhirnya, tinggal lagi seminggu saya akan mula bekerja semula dan ALHAMDULILLAH sekali lagi saya dapat mengharungi ujian yang ALLAH turunkan ini dengan redha dan penuh kesabaran yang pada asalnya saya tak mungkin dapat kecapi perasaan tersebut pada situasi normal.

Sesungguhnya ALLAH Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Dia juga yang membuka hati saya semula untuk bangkit semula untuk berniaga dengan memastikan saya tidak putus asa dalam mengharungi kehidupan saya. Malah, Dia juga menanamkan semangat ingin terus berjuang bagi membolehkan saya dan suami meneruskan kehidupan dengan lebih baik supaya kami lebih menghargai wang yang ada dan menguruskan perbelanjaan dengan lebih baik dan teratur. Selain itu, ujian ini juga mengajar kami supaya dapat mengawal nafsu seperti boros berbelanja dan menjaga pemakanan kami supaya sentiasa sihat dan mencukupi untuk kami sekeluarga serta berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menambah pendapat keluarga kami secara sedikit demi sedikit.

Di samping itu, saya amat mengharapkan keadaan ekonomi saya akan bertambah baik lagi selepas ini dan kami dapat membayar semua hutang kepada mereka yang berkenaan secepat mungkin dan mempunyai lebihan simpanan yang mencukupi pada masa akan datang sekiranya berlaku musibah yang tidak diingini berlaku lagi kerana "malang tidak berbau".

Akhir sekali, semoga kehidupan kami akan lebih bahagia dan ekonomi stabil pada masa akan datang. Sesungguhnya saya amat menghargai waktu duka ini walaupun sebenarnya ia memberikan seribu kemanisan dalam kehidupan kami sekeluarga. InshaALLAH.

Amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan