1 Januari 2014 (Rabu) merupakan hari pertama kita memulakan tahun baharu 2014. Untuk itu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014 kepada anda semua yang menjadi pelanggan dan pembaca setia blog saya ini. Sememangnya tahun 2013 mempunyai pelbagai kisah yang mengingatkan tentang bibit-bibit kegembiraan, keterujaan, kesedihan dan pelbagai rasa lagi. Yang pastinya semua kenangan tersebut membentuk diri kita supaya menjadi lebih dewasa, matang, terbuka untuk menerima pendapat orang lain dan ingin mengubah diri kita kepada seorang yang lebih baik.
Kelebihan apabila kita mengingati kembali apa yang berlaku sepanjang tahun 2013, ia membolehkan kita untuk muhasabah diri dengan mencari kekurangan dan kesilapan untuk dibaiki pada tahun 2014 ini. Untuk itu, bagi diri saya sendiri, saya telah membuat senarai impian yang ingin dicapai sepanjang tahun 2014. Saya tidak menggambarkannya sebagai azam sebab berdasarkan pengalaman azam hanya akan menjadi kenangan pada akhir tahun tetapi saya menyatakannya sebagai "impian", saya tahu saya perlu mencapai impian tersebut supaya saya tidak menjadi seorang yang hanya menyimpan angan-angan yang tidak kesampaian seperti Mat Jenin. Apabila anda mengatakan sebagai "impian", ia bukan sahaja angan-angan tapi cita-cita yang perlu dikecapi bagi seorang yang ingin dan sukakan kejayaan.
Oleh itu, saya ingin berkongsi dengan anda semua impian saya bagi tahun 2014 ini. Sebagai seorang isteri, saya amat berharap dapat menguruskan berat badan saya kembali kepada 55kg. Ini kerana badan saya dah macam tong kerana saya berhenti daripada mengambil Herbalife dan melakukan senaman sejak 3 bulan lepas. Selain itu, saya amat berharap kewangan keluarga akan meningkat dari segi simpanan walaupun tahun ini akan menyaksikan peningkatan harga makanan, petrol, utiliti, tol dan sebagainya serta pelaksanaan sistem cukai GST yang terbaru. Selain itu, kami bakal berpindah ke rumah baru pada bulan April (jangkaannya), maka pasti akan berlaku peningkatan perbelanjaan bagi menguruskan perpindahan tersebut.
Manakala impian saya sebagai seorang usahawan, saya akan cuba mempertingkatkan promosi supaya target jualan dapat dicapai pada setiap akhir bulan. Ini kerana promosi merupakan perkara penting dalam bidang perniagaan di samping pengurusan stok dan pentadbiran kewangan perniagaan. Saya juga cuba mendapatkan dana percuma daripada kerajaan dan ia menjadi sokongan tambahan kepada saya untuk menjalankan perniagaan saya. Yang paling utama, saya akan mengubahsuai sebuah bilik di kediaman baru saya sebagai butik dan pejabat untuk urusniaga dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Selain itu, sebagai guru teknikal, saya amat berharap saya akan lulus dengan cemerlang bagi mendapatkan Sijil Pendawaian PW4 pada Mac ini. Untuk itu, saya amat berharap saya dapat meningkatkan tahap stamina saya dengan melakukan aktiviti senaman dengan lebih kerap lagi.
Diharapkan tahun 2014 ini juga memberikan cahaya baru dalam kehidupan anda semua. Yang pasti, janganlah anda berputus asa dengan pelbagai ujian yang bakal mendatang dalam kehidupan kita nanti. Semoga ALLAH memberkati kehidupan kita semua dengan hidayah, dan sifat rahman dan rahimNYA. Amin.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan